Aluan

Memaparkan catatan dengan label Koleksi Latihan Pemahaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Koleksi Latihan Pemahaman. Papar semua catatan

Selasa, 17 Julai 2012


Baca petikan di bawah dan jawab soalan yang berikut.

Namaku Shahila. Kawan-kawan panggilku Ila sahaja. Walaupun usiaku sudah 12 tahun namun badanku kecil dan kurus. Kawan-kawan selalu kata aku macam budak darjah dua. Aku tidak pernah ambil hati dengan kata-kata itu kerana memang benar bentuk badanku kecil. Kata ibu, semasa aku dilahirkan, aku seperti bayi normal yang lain malah badanku montel sekali. Sesiapa sahaja yang datang melihatku pada ketika itu pasti akan mencubit pipiku yang montel. Namun, sejak berusia setahun badanku semakin hari semakin susut dan sehinggalah aku disahkan menghidap penyakit thalasemia. Ibu dan ayahku terpaksa reda dengan keadaan yang berlaku.
              Keadaan diri aku tidak segagah kawan-kawanku yang lain. Badanku lemah dan aku mudah penat. Menurut doktor, badanku tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang normal. Hemoglobin ialah bahan yang menghasilkan warna merah dalam sel darah. Wajah aku sentiasa kelihatan pucat dan lesu. Aku mudah sesak nafas dan aku tidak terdaya untuk melakukan kerja-kerja berat. Apabila melihat kawan-kawan bermain di padang, ada hati juga aku hendak menyertai mereka tetapi apakan daya, aku tidak bertenaga seperti mereka. Aku hanya mampu memandang mereka dari luar padang sahaja.
              Sebaik sahaja Cikgu Raihan habis mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, loceng rehat pun berbunyi. Kawan-kawan aku mula bergegas untuk ke kantin maklumlah mereka masih belum bersarapan lagi. Aku tidak tergesa-gesa untuk ke kantin kerana setiap hari, ibu akan membekalkan makanan kepadaku. Aku tidak perlulah bergegas ke kantin untuk membeli makanan. Aku memang bertuah berada di Kelas 6 Gemilang kerana kawan-kawan sering membantu. Dalam keadaan kesihatan aku yang sebegini, ramai yang menghulurkan bantuan. Bukan sahaja kawan-kawan sekelas malah guru-guru di sekolah sering bertanya khabar tentang kesihatan aku.
              Aku tidak pernah menjadikan alasan penyakitku ini sebagai penyebab untuk tidak pergi ke sekolah. Malah aku gemar pergi ke sekolah kerana di sekolah ramai kawan yang akan membantuku terutama dalam bidang pelajaran. Walaupun aku berpenyakit, aku bukanlah pelajar tercorot dalam kelasku. Aku sentiasa menjadi pelajar contoh dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik. Kata Angela, aku anak emasCikgu Tan dan Cikgu Raihan. Mengingatkan kata-kata Angela, aku akan tersenyum sendirian. Walaupun Angela suka mengusik, namun aku menganggap kata-katanya sebagai perangsang untuk aku terus maju dalam pelajaran dan mengejar cita-citaku untuk menjadi doktor.
              Walau apa-apapun dugaan yang datang, aku harus menempuhnya dengan tabah kerana penyakit yang aku hidapi ini bukanlahku pinta. Aku sentiasa mengingatkan diriku agar jangan menyalahkan takdir kerana aku yakin Allah sayang akan diriku sebab itu aku diberi ujian sebegini dalam usia yang amat muda. Aku tidak mahu menyusahkan orang lain dan tidak mahu orang bersimpati dengan takdir yang menimpa diriku. Aku harus berdikari. Aku juga berjanji untuk tidak mengecewakan ibu dan ayah serta kawan-kawan di sekolah yang ingin melihat aku sihat dan berjaya dalam pelajaran.

Jawab soalan berikut.

1. Mengapakah badan Sahila kurus dan kecil?.

    A. Sahila baru berusia 12 tahun.
    B. Sahila mengidap penyakit talasemia.
    C. Sahila kelihatan seperti budak darjah 2.
    D. Sahila memang begitu sejak dilahirkan.

2.  Sahila tidak tergesa - gesa ke kantin pada waktu rehat kerana .....

     A.  dia tidak selera.
     B.  dia mahu membuat kerja sekolah.
     C.  dia membawa bekalan makanannya sendiri.
     D.  dia malu hendak berjumpa dengan kawan - kawannya.

3.  Mengapakah Sahila menganggap dirinya bertuah?.

     A.  Dia menjadi anak emas kepada guru - gurunya.
     B.  Dia menjadi pelajar contoh di sekolahnya.
     C.  Dia sering mendapat perhatian daripada guru dan rakan - rakannya.
     D.  Dia sering mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

4.  Yang berikut ialah pernyataan tentang diri Sahila kecuali...

     A.  Sahila mudah berputus asa.
     B.  Sahila seorang yang rajin belajar.
     C.  Sahila seorang yang bercita - cita tinggi.
     D.  Tiada satu pun di atas.

5.  Rangkai kata ada hati dalam petikan bermaksud...
  
     A.  mempunyai kemahiran.
     B.  mempunyai keinginan.
     C.  mempunyai kemampuan. 
     D. mempunyai kesungguhan.